Thursday 28 November 2013

Kari Ayam


Assalammualaikum W.B.T

Ini pun sebenarnya dah lama i masak n snap gambornya cuma malas nak upload.  Ishh buruk betul perangai kan...malass. Jom tengok resepi i :)

~ Kari Ayam ~

1/2 ekor ayam
2 inci halia 
3 bawang putih
3 biji bawang merah
1 biji bawang besar
3 bunga lawang
1 kayu manis
4 buah pelaga
4 cengkih
2 tangkai daun kari
1 1/2 paket serbuk kari daging (i guna Baba's)
1 cawan santan pekat
3 biji tomato
3 cili merah atau hijau
3 biji kentang
Air, Minyak, Garam & sedikit gula

Halia dan bawang besar dikisar bersama dengan serbuk kari yang telah dibancuh dengan air. Tumiskan bawang putih, bawang merah yang telah dimayang bersama bunga lawang, cengkih, buah pelaga dan kayu manis serta daun kari sehingga keperangan.

Masukkan pes kari yang telah dikisar bersama halia dan bawang besar, biarkan masak. Sentiasa kacau supaya mesra.  Masukkan kentang dan 2 biji tomato yang telah dibelah 6, gaulkan dan biarkan mereneh. Tujuan tomato dimasukkan bersama kentang sebelum dimasukkan santan adalah untuk memastikan tomato hancur dan memberikan sedikit rasa masam.

Masukkan ayam dan biarkan seketika, tambahkan santan.  Tambah air jika suka. Tambahkan 1 tomato yang telah dibelah 4 dan cili merah/hijau bersama garam dan sedikit gula sebagai pengganti bahan perisa. 

Ini cara i masak lah... hehe.

Monday 25 November 2013

Sotong Goreng Mamak



Assalammualaikum W.B.T.  Lamanya i tak update resepi baru kan.  Tak tau lah pasaipa yang malas sangat. Gambar-gamabr semua dah ada, tapi bila nak update saja ada ja benda lain yang nak dibuat. Bila dah free, malas pulak. Teruk sungguh kan...hehehe.  Jom tengok apa yang i masak.

~ Sotong Goreng Mamak ~

3 ekor sotong yang sederhana besar
Serbuk Kari Ikan
Garam
Minyak

Bersihkan sotong dan kelar di sepanjang badannya. Sebelum kelar, letakkan mata pisau di dalam badan sotong, kemudian baru kelar.  Dengan cara ini, kita tak tersalah kelar sampai tembus ke bahagian belakang :P Gaulkan garam serta serbuk kari ikan sehingga mesra.  Biarkan seketika.  Panaskan minyak dan masukkan sotong, perlahankan api dan biarkan sotong di atas api yang sederhana sehinggalah masak.

Selamat mencuba :)

Friday 15 November 2013

Sup Ayam Berempah


Assalammualaikum W.B.T. Amboi lamanya tak berupdate blog i nih. Sorry lah ya, too many things in my tray, kelam kabut dibuatnya.  Okay, i nak kongsi satu resepi sup yang sangat digemari oleh keluarga kecil i :) Kalau nak makan sup berempah nih, selalunya we all makan kat restoran pelita. Satu lagi sup berempah yang sedap dan famous ialah Sup Hameed di Penang Road sana. Oihhh kalau malam minggu penuh orang dan bila cuti sekolah pulak, adoiiii ramainya berdiri menunggu giliran nak dapatkan meja. Kebanyakan yang datang masa cuti sekolah ialah orang luar. Sup dihidang dengan Roti Benggali ....oihhhh sedap!!

Hari tuh i terjumpa serbuk sup Baba's yang rasanya lebih kurang sama mcm kat 2 restoran tadi. Opppss! tak derlah sama 100% tapi boleh lah sbb yang paling penting tak der penggunaan serbuk perasa. Kalau kat restoran, hoihhhh banyak tuh they all guna. Tak bagussss! hehehheh jom kita tengok resepi simple nih.

~ Sup Ayam Berempah ~

3 bawang merah - dimayang 
3 bawang putih - dimayang /dicincang
2 inci halia - dimayang
5 cili padi
3 batang daun sup
2 batang daun bawang
3 biji kentang
2 biji tomato (dibelah 6)
1 bungkus kecil rempah sup Baba's (25gm) - dibancuh dengan sedikit air
1/2 ekor ayam
Sedikit bawang goreng (i tak gunakan sbb dah habis stok)
Garam

Tumiskan bawang putih dan bawang merah serta halia sehingga keemasan dan naik bau. Masukkan paste rempah sup dan kacau sehingga mesra.  Tambahkan air mengikut citarasa (kalau suka pekat, kurangkan air) bersama kentang dan tomato. Biarkan seketika, kemudian masukkan ayam dan perisakan dengan garam. Apabila tomato telah lembik, lenyekkan tomato sehingga hancur. Masukkan cili padi yang telah dibelah 2 (Jika tidak mahu pedas, masukkan tanpa dibelah).

Apabila kentang sudah lembut, taburkan daun sup & daun bawang serta bawang goreng. Padamkan api dan sup sedia untuk dihidangkan

Jom cuba :)

Friday 25 October 2013

Kailan Ikan Masin Berkuah


Assalammualaikum :) I tak sihat lah pulak. Flu! Tapi tak apa, i nak share sayur yang i masak atas permintaan My Other Half. I tau semua org pandai masak kailan ikan masin, tapi i nak share apa yang i dah masak untuk dinner. Apa yang i hidangkan untuk makan malam sebagai hidangan sampingan. Sharing is caring betul tak ?

~ Kailan Ikan Masin Berkuah ~

1 ikat kailan
4 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1 biji cili merah
Lada hitam  
2 potong kecil ikan tenggiri masin (jumlah ikut citarasa)
Minyak untuk menumis

Gorengkan ikan masin sehingga masak. Di dalam minyak yang sama tumis bawang merah dan bawang putih sehingga keemasan bersama ikan masin tadi. Pecah-pecahkan ikan masin kemudian masukkan batang kailan yang telah potong dan dihiris sederhana nipis (batang kailan kan tebal jadi kulitnya disiat dan dihiris), tambah sedikit air supaya berkuah dan biarkan mendidih. Tambah lada hitam dan masukkan daun kailan. 

Tadaaa! Senang kan :)

Tuesday 22 October 2013

Sambal Bilis Ekspress

Assalammualaikum :) I sangat busy jadi tak dapatlah nak berceloteh panjang. Jom layan resepi untuk orang busy :P



~ Sambal Bilis Goreng Ekspres ~

Ikan Bilis 
2 1/2 senduk cili kisar (yang i dah siap kisar dengan bawang merah, bawang putih dan halia)
2 Asam keping
Sedikit kicap manis
Minyak untuk menggoreng ikan bilis dan menumis

Basuh dan toskan ikan bilis.  Ikan bilis dan cili kisar mestilah balance kuantiti. Tumis cili kisar dengan minyak bekas goreng ikan bilis dan masukkan asam keping. Goreng sehingga cili masak. Masukkan sedikit kicap manis. Tidak perlu tambahkan garam kerana minyak bekas goreng ikan bilis sudah ada rasa masin. Masukkan ikan bilis dan biarkan seketika. Jika masih belum masin, tambahkan garam.

Nota: I x suka guna cili boh atau cili mesin yang dibeli. Selalunya i akan kisar cili bersama bawang merah, bawang putih & halia.  Jadi semua masakan i yang menggunakan cili kisar mesti ada halia hahahahh.

Mudah kan? Sangat sesuai untuk i tau , i kan busy heheheh.

Saturday 19 October 2013

Daging Rendang Mamak


Assalammulalaikum :) I Kali nih i nak kongsi resepi Daging Rendang Mamak.  Hari tuh i dah kongsi resepi Ayam Rendang Mamak kan, resepi yang lebih kurang sama kecuali untuk daging rendang mamak nih, i tak masukkan fresh tomato.  Okay jom kite tengok resepi :)

~Daging Rendang Mamak~

1/2 kilo daging
2 senduk cili kisar (i dah kisar dengan halia, bawang putih dan bawang merah)
4 1/2  sudu besar serbuk kari daging (i guna Baba's)
2 labu bawang besar (dihiris kasar)
2 biji cili hijau / merah
Kicap manis 
Sedikit air asam jawa (kalau guna asam jawa adabi, amik 1/2 sudu teh)
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Tumis cili kisar dan masukkan serbuk kari yang telah dibancuh dengan air dan daging dan sedikit garam, gaul sehingga mesra dan biarkan sehingga daging empuk dan rempah masak. Tambahkan kicap manis dan asam jawa hanya apabila daging sudah empuk. Padamkan api, kemudian masukkan bawang besar yang dipotong bulat dan cili hijau atau merah.

Nota : Jika tidak mahu terlalu berempah, boleh kurangkan rempah kari daging.  

Mudah kan? Selamat mencuba.

Wednesday 16 October 2013

Ayam Percik Mak Ngah


Assalammualaikum :) Hari tuh i cuba masa ayam percik putih kelantan.  Kali nih i masak pulak resepi my mom yang i telah olahkan mengikut kesesuaian hehe.  Kami adik beradik memang suka ayam percik nih. Jom kita tengok resepi :)

~Ayam Percik Mak Ngah~

1/2 ekor ayam
2 biji bawang besar (sederhana besar)
2 biji bawang putih
11/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 batang serai
Sedikit cili kering (jumlah terpulang pada citarasa)
2 keping asam keping (jumlah ikut citarasa)
1 cawan santan pekat
Sedikit garam & gula

Kisar bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas dan serai dan cili kering bersama santan sehingga halus kecuali asam keping dan masukkan ke dalam kuali. Ayam diperap seketika dengan sedikit bahan yang dikisar.  Masukkan ayam ke dalam kuali bersama bahan-bahan yang dikisar dan biarkan seketika sehingga separuh masak. Angkat ayam dan letakkan di atas non-stick pan atau griddle yang telah dipanaskan. 

Kacau kuah percik perlahan-lahan diatas api yang sederhana. Tambahkan asam keping dan perisakan dengan garam & gula. Biarkan sehingga pekat dan padamkan api.

Letakkan kuah percik /sapukan di atas ayam (basting) dan pastikan ayam tidak hangus. apabila ayam masak, angkat dan tuangkan lebihan kuah percik ke atas ayam.

Kalau panggang di atas pemanggang arang memang sedap tapi, hish manalah ada kesempatan dan ruang nak memanggang cara gitu lak.  So panggang jer atas griddle :)

Selamat mencuba.

Salata Hara


Assalammualaikum :) Hari ini i nak berkongsi satu fresh tomato sauce yang terkenal di tanah arab sana...Salata Hara. Kalau kat Msia nih i selalu makan di Restoran Saba. Makan grilled chicken dan fresh tomato sauce nih....huihhh sedap. Memandangkan semua bahan ada di fridge, apa lagi kan, i cubalah buat. Sangat mudah :) My daughter dan My Other Half gave me thumbs up! 

Salata Hara nih dijadikan sebagai hidangan sampingan untuk Nasi Kabsah yang i masak. Nanti i akan kongsi resepi ya :)

~ Salata Hara ~

5 biji tomato sederhana besar
1 cawan daun/batang ketumbar (anggaran apabila telah dicincang sebelum di masukkan ke dalam mesin pengisar) / lebihkan jika suka
5 cili merah
4 biji padi
1/2 (diambil jus) / 1 biji lemon jika suka
Sedikit garam & gula

Kisarkan daun ketumbar, cili merah & cili padi serta tomato.  Pastikan jangan terlalu halus. Masukkan ke dalam mangkuk, masukkan jus lemon, garam dan gula.  Jika suka masam, tambahkan lagi jus lemon. Hidangkan bersama nasi kabsah atau nasi mandi.

Easy peasy!  Selamat mencuba.

Friday 11 October 2013

Ketam Halia Sos Tiram


Assalammualaikum :) Beberapa hari lepas i balik rumah from ofis dah lambat.  My Other Half mulanya nak makan sandwich jer tapi tukar fikiran nak makan nasik dan ketam. I pun cakap  Masak Ketam Halia Sos Tiram jer lah. Mudah jer nak masak. Jom kita tengok resepi.

~Ketam Halia Sos Tiram~

2 ekor ketam 
Halia muda (i letak banyak)
Cili burung (pedas nih)
4 biji bawang putih
1/2 biji bawang besar (dihiris kasar)
2 sudu makan sos tiram
Lada hitam 
Kunyit
Minyak untuk menumis

Bersihkan ketam, lumurkan dengan kunyit dan goreng sehingga masak. Tumis bawang putih, halia dan cili burung menggunakan minyak gorengan ketam tadi, masukkan sos tiram dan sedikit air. Tambahkan ketam yang telah digoreng tadi dan lada hitam, biarkan mereneh seketika. Padamkan api dan taburkan bawang besar, gaulkan rata.

Mudah kan? Selamat mencuba!

Thursday 10 October 2013

Mee Rebus Potluck by Shereen


Assalammualaikum :) Hati i sangat gumbira :P A colleague of mine has agreed to share her recipe in this blog. Pucuk di cita ulang mendatang lah.  Dia masakkan mee rebus nih untuk potluck, so i namakan Mee Rebus Potluck lah.  Jom kita tengok resepi :)

~ Mee Rebus Potluck by Shereen~

2 kilo mee kuning, dicelur
1/2 kilo daging, dihiris halus ataupun tetel
4 biji keledek, direbus dan dikisar
1 cawan tauchu, dicuci dan dikisar
3 ulas bawang putih, dikisar
3 biji bawang merah, dikisar
1 inci halia, dikisar
1/2 cawan udang kering, dikisar
3 batang serai, dititik
1 inci lengkuas, dititik
5 sudu makan rempah kari daging
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya
Minyak untuk menumis

- Jemput-Jemput Udang Kering
1/2 cawan udang kering, dikisar
80g tepung gandum
¼ camcateh serbuk kunyit
garam
air secukupnya
minyak untuk menggoreng

- Bahan Hiasan
Tahu yang digoreng, dipotong kecil
Daun sup, dimayang
Bawang goreng
Telur rebus, dibelah dua
Lada hijau, dipotong bulat
Taugeh, dicelur
Limau kasturi, dibelah dua

Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan serai dan lengkuas yang telah dititik. Kemudian tumis bawang putih, bawang merah, halia dan udang kering yang telah dikisar hingga naik bau. Masukkan rampah kari kacau rata, kemudian masukkan tauchu dan keledek yang telah dikisar bersama dengan daging. (selalu tauchu dan keledek yang dikisar kita letakkan air untuk senang dikisar) jadi tak payah tambah air takut kuahnya tak pekat. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa.

Campurkan kesemua bahan-bahan dan gaul rata. Cara menggoreng ada teknik sikit. Bancuhan tepung direnjis pada minyak dan goreng adunan sehingga garing. Angkat dan toskan. Minyak kena banyak untuk menggoreng tepung ini

Hidangkan mee yang telah dicelur bersama taugeh. Tuangkan kuahnya dan kemudian hiaskan dengan tahu goreng, daun sup, bawang goreng, telur rebus, lada hijau, limau kasturi dan tak lupa juga taburan tepung udang kering.

Nanti i sendiri akan mencuba resepi shereen, dan share dengan semua :)
Terima kasih kepada Shereen yang sudi berkongsi resepi dan gambar mee rebus potluck.

Monday 7 October 2013

Ayam Rendang Mamak


Assalammulalaikum :) Last sunday morning sambil dok bergolek atas katil (nama pun sunday kan...rehat-rehat sambil whatzapp atas katil ler kejenya) memikir apa nak masak for lunch.  My Other Half pulak malas nak ke market beli bekalan lauk pauk segar, tunggu petang katanya baru nak keluar.  Hmmm, yang ada dalam fridge cuma ayam saja.  Okaylah masak ayam rendang mamak jer lah. Resepi yang diberi oleh my Aunty from Penang nih asalnya berasaskan daging sebagai bahan utama. Tapi tak apalah, tak ada daging, i ganti ayam dan olah sikit hehe.  Okay jom kita tengok resepi.

~Ayam Rendang Mamak~

1/2 ekor ayam
2 senduk cili kisar (i dah kisar dengan halia, bawang putih dan bawang merah)
3  sudu besar serbuk kari daging (i guna Baba's)
2 biji tomato (didadu)
1 labu bawang besar (dihiris kasar)
1 biji cili hijau / merah
Kicap manis
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Tumis cili kisar dan masukkan serbuk kari yang telah dibancuh dengan sedikit air, gaul sehingga mesra dan biarkan sehingga masak.  Masukkan ayam dan tomato, gaul sehingga rata. Tambahkan sedikit garam dan kicap manis. Kacau dan biarkan sehingga tomato menjadi hancur. Padamkan api, kemudian masukkan bawang besar yang dipotong bulat dan cili hijau atau merah.  

Mudah kan? Selamat mencuba.  Nanti i akan kongsi pulak Daging Rendang Mamak. 

Sunday 6 October 2013

Gulai Ayam Minang


Assalammualaikum :) Semoga hari kita semua bermanfaat dan ceria.  Sebenarnya dah lama i teringin untuk cuba masak masakan minang atau padang tapi tak pernah berkesempatan. Kalau teringin nak makan, i kenalah pergi ke restoran yang specialized in masakan padang nih.  Okay, baru nih semasa dok sibuk tengok resepi kat blog Dapur Ibundo terjumpa lah resepi Gulai Ayam Minang nih. Menurut beliau, resepi ini diberi oleh sepupu beliau yang berasal dari daerah Minangkabau. Bagai pucuk dicita ulam mendatang ler heheheh. So i cuba masak resepi beliau untuk makan tengahari Sabtu lepas. Resepi dibawah telah diolah mengikut kesesuaian untuk keluarga kecil i :)  Jom kita tengok resepi ni.

~Gulai Ayam Minang~

1/2 ekor ayam
2 inci lengkuas*
2 inci halia*
2 inci kunyit *
2 biji bawang besar (sederhana besar)*
3 ulas bawang putih*
3 biji buah keras*
3 biji cili merah * (tambah cili padi sekiranya mahu pedas)
2 biji cili hijau * 
3 batang serai *
1  helai daun kunyit *
3 helai daun limau purut dibuang tulangnya *
1 cawan santan pekat (setengah dijadikan santan cair)
2 keping asam gelugur
Garam & gula  secukup rasa 
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan bertanda * dikisar sehingga halus dan ditumis sehingga masak (kering airnya). Masukkan ayam dan biarkan mereneh  sehingga air ayam tadi kering.  Tambahkan santan cair, garam dan asam keping dan kacau sehingga mesra.  Kemudian tambahkan santan pekat dan biarkan mendidih.

Terima kasih pada Bundo dari Dapur Bundo :)

Thursday 3 October 2013

Ayam Percik Putih


Assalammualaikum :) Hari nih nak cerita pasal ayam percik.  I x pernah makan ayam percik putih nih sampailah umur 24 tahun ketika di majlis menyambut menantu di  umah keluarga My Other Half. Selalunya Ayam Percik warna merah lah sbb ada cili dan seingat i lah orang utara memang selalu ayam percik merah nih.  Masa mula rasa ayam percik putih yang dihidangkan (i kan pengantin masa tuh heheh) terpaksalah makan dengan malu-malu...dalam hati 'hishhhh lecehnya aku nak makan...sedap nih' kenalah control ayu kan kekekekek. Ever since then kan, i memang suka ayam percik putih nih BUT tak bley makan banyak ler ...muak rasanya sbb tak pedas kan.  

Last few days i cuba masak resepi nih for dinner. Wow hebat nih sempat buat for dinner kekekekek ..... ehhhh adik-adik, kakak-kakak, senang jer nak ayam percik nih, kita pun dah moden kan, tak yah nak buat bara api nak panggang ayam nih, i guna my pan / griddle jer.  Kejap jer masak .... i kan pompuan busy u :P

Okay, resepi ayam percik nih i ambil dari dapur Kak Azie yang cantik jelita dan diolah ikut kesesuaian i. Thanks kak. Ok jom kita tengok resepi.

~Ayam Percik Putih~

Ayam 1/2 ekor
4 biji bawang merah sederhana besar
2 biji bawang putih
11/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 batang serai
2 keping asam gelugor (jumlah ikut citarasa)
1 cawan santan pekat
Sedikit garam & gula
Lada hitam yang ditumbuk kasar

Kisar bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas dan serai bersama santan sehingga halus kecuali asam keping dan masukkan ke dalam kuali. Ayam diperap seketika dengan lada hitam dan garam serta sedikit bahan yang dikisar.  Masukkan ayam ke dalam kuali dan biarkan seketika sehingga separuh masak. Angkat ayam dan letakkan di atas non-stick pan atau griddle yang telah dipanaskan. 

Kacau kuah percik perlahan-lahan diatas api yang sederhana.  Perisakan dengan garam, gula dan lada hitam (i mmg letak banyak) . Tambahkan asam keping. Biarkan sehingga pekat dan padamkan api.

Letakkan kuah percik /sapukan di atas ayam (basting) dan pastikan ayam tidak hangus. apabila ayam masak, angkat dan tuangkan lebihan kuah percik ke atas ayam. 

Selamat mencuba :) 

Friday 2 August 2013

Ayam Goreng Berlado


Assalammualaikum.  Semoga sejahtera dan dilimpahi rahmat Allah s.w.t di pagi Jumaat ini. Cepatnya masa berlalu, pejam celik pejam celik dah penghujung Ramadhan. Sayu pulak rasa hati ini. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk menikmati Ramadhan lagi. Okaylah jom kita cakap pasal makanan pulak. Hehe, hari tuh i bertandang ke rumah The Kasihs.  Nampak masakan nih kat situ, hmmmm menyelerakan lah pulak. I pun cuba olah resepi sendiri. Hmm, lebih kepada hentam saja resepi. Sorry lah ya gambar x cun sebab dah nak berbuka, masukkan dalam pinggan dan rakam.  Tak menyempat hahahhah. Jom tengok resepi.

~Ayam Goreng Berlado~

1/2 ekor ayam 
1 labu bawang besar
3 senduk cili kisar [i mmg selalu guna senduk, mudah] 
Sedikit asam jawa [i guna asam jawa adabi]
2 sudu besar santan pekat
Garam
Gula

Ayam dipotong kecil dan digoreng, angkat dan toskan. Menggunakan minyak yang sama untuk menggoreng ayam, tumiskan cili kisar [cili kering dikisar bersama bawang putih, bawang merah dan halia] sehingga pecah minyak. Masukkan perahan air asam jawa dan santan. Biarkan mereneh sehingga kering.  Masukkan sedikit gula dan garam secukup rasa. Masukkan hirisan bawang besar dan  kemudian tambahkan ayam. Gaulkan sehingga mesra.

Selamat mencuba.

Wednesday 31 July 2013

Sambal Tauhu Goreng


Assalammualaikum.  Hari nih i nak kongsi resepi Sambal Tauhu Goreng yang i masak beberapa minggu lepas untuk majlis potluck di office.  Sambal Tauhu nih i masak khas untuk one lovely lady yang vegetarian. So setiap sorang bawak 1 vegetarian dish dan 1 main dish. Nanti i akan kongsi resepi main dish i yang berasakan ayam.  Okay, back to Sambal Tauhu Goreng, macam biasa, i masak sebab i rasa mudah tapi sedap [sedap pada tekak i lah yer] :) Jom kita tengok resepi.

~Sambal Tauhu Goreng~

5 keping tauhu [dipotong dua bahagian-bentuk tiga segi]
1 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah
2 senduk cili kisar [mesti home made tau - kisar sendiri bersama bawang putih, bawnag merah & halia]
Sedikit santan pekat [kurang 1/4 cawan - ikut citarasa]
Gula secukup rasa
Asam jawa secukup rasa
Garam secukup rasa
Air [jika suka]

Bersihkan tauhu dan dipotong kepada 2 bahagian berbentuk tiga segi. Gorengkan sehingga bahagian luar menjadi keperangan dan agak keras.  Angkat dan toskan.

Tumiskan bawang putih dan merah kemudian masukkan cili kisar dan goreng sehingga masak /pecah minyak. Tambahkan santan, asam jawa, gula dan garam. Biarkan seketika sehingga santan masak.  Jika suka kuah, boleh tambahkan sedikit air. Masukkan tauhu yang telah digoreng ke dalam sambal yang telah siap dimasak, gaulkan sehingga mesra.

Sorry kualiti gambar tak cantik - camera cap ayam dan kelam kabut hehe.  Selamat mencuba :)

Monday 29 July 2013

Cumi Kering Goreng Cili Padi


My sister Manja belikan Cumi Kering kesukaan i masa dia ke KK.  Dulu i pernah beli di Lumut tapi Cumi nih bermusim.  Last week, i goreng Cumi dengan bawang dan cili padi untuk sahur sebagai lauk sampingan. Yang makan Cumi goreng nih pun cuma My Other Half dan i jer. Ini lah masakan paling mudah hehe. Tak perlukan resepi, tengok pun dah tahu hahaha.

Linguine Aglio e OLio


Assalammualaikum :) Okay hari nih i nak kongsi resepi paling simple penyediaannya.  Asyik makan nasi jer masa sahur, boring kan? So, apa kata tukar selera. Jom kita tengok resepi.

~Linguine Aglio e Olio~

1/4 peket Linguine Pasta
6 ulas bawang putih
Sedikit chilli flakes
Sedikit parsley [fresh parsley lebih sedap tapi kalau dah tak ada, dried parsley pun okay]
4 sudu besar olive oil [kuantiti minyak boleh dikurangkan atau ditambah mengikut citarasa]

Rebus linguine bersama garam sehingga al-dente. Pastikan pasta cukup rasa masin. Tumiskan bawang putih bersama chilli flakes sehingga bawang putih kuning keemasan.

Apabila pasta masak, toskan dan simpan sedikit air rebusan. Masukkan pasta ke dalam kuali dan gaulkan mesra. Tambahkan air rebusan sedikit.  Taburkan fresh atau dried parsley.

Aglio e Olio nih bermaksud Garlic & Oil, jadi tak perlu letak bawang merah tapi i kadangkala letak, macam dalam gambar di atas, i letak bawang merah. IKut citarasa :)

Yang penting, pasta mesti diperisakan dengan garam jadi bahan tumisan tidak perlu diletakkan garam lagi.

Voila! Mudah jer kan.

Wednesday 24 July 2013

Sambal Sardin & Kentang


Dah lama i tak makan sardin. So last Sunday, i masak Sambal Sardin & Kentang nih.  Sardin nih sangat versatile. Macam-macam masakan kita boleh olah dengan menggunakan bahan asas iaitu sardin.  Masak lemak cili padi sardin pun boleh, masak sambal boleh, masak kari boleh, sardin goreng boleh, masak asam boleh...ish pendek kata, semuanya boleh. Semuanya terpulang kepada kreativiti kita... :)  Okay jom kita tengok resepi.

~ Sambal Sardin & Kentang ~

2 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia [dimayang]
3 Asam Keping [atau boleh subsitute dengan air perahan limau nipis]
1 senduk cili kisar* 
5 biji cili padi
1 biji cili merah atau cili hijau
1 tin besar sardin
3 biji kentang 

Tumiskan bawang putih dan bawang merah bersama halia sehingga kekuningan. Masukkan cili mesin dan goreng seketika.  Tambahkan kentang yang telah dibelah kecil. Biarkan kentang masak. Masukkan kuah sardin dan asam keping dan cili padi. Pastikan cukup rasa. Masukkan ikan sardin, bawang besar dan hirisan cili merah atau hijau.

* Elakkan penggunaan cili kisar / cili boh yang dibeli di kedai.  Lebih sedap jika kita sendiri yang sediakan pes cili kisar. Cuma perlu kisar cili kering bersama bawang putih, bawang merah dan halia. Hati pun senang sebab x gunakan bahan pengawet, rasanya pun jauh lebih sedap.

:) Selamat mencuba.

Ayam Kunyit & Tomato


Oh! I am simply in love with this dish.  Simple & sedap! Macam i selalu dok sebut lah kan, masakan i mesti lah simple sebab i busy [chewah!].  Kadang-kadang tuh boleh lah buat yang complicated sikit, itupun kalau ada rajin haha! 

~ Ayam Kunyit & Tomato ~

4 ulas bawang putih [ditumbuk atau dimayang]
3 ulas bawang merah [dimayang]
1 labu bawang besar [dihiris kasar]
2 inci halia atau lebih [dimayang]
2 biji cili merah
1 tangkai daun bawang
1/2 ekor ayam
1 biji tomato
Kunyit serbuk [atau kunyit hidup- ditumbuk halus]
1/2 ekor ayam [dipotong kecil]

Kunyitkan ayam dan biarkan seketika.  Masukkan sedikit minyak dalam kuali dan gorengkan separuh masak.  Masukkan bawang putih dan bawang merah dan halia, biarkan keemasan. Tambahkan tomato dan gorengkan sehingga ayam masak dan tomato hancur.  Perisakan dengan garam dan sedikit  lada hitam yang ditumbuk kasar. Masukkan bawang besar, cili merah dan daun bawang.

I dah cakap, memang mudah!

Tuesday 23 July 2013

Tomyam Putih Ayam


Ini menu last week yang i masak for bersahur dan few days later untuk berbuka pulak.  Dah ada permintaan, i ikutkan ajer. Lagipun, this is healthy soup.  Tak tumis, semuanya rebus jer..I tau ramai yang mahir masak tomyam, lain orang lain citarasa & cara masaknya kan.  I sekeluarga memang suka tomyam putih nih.  Jom kita tengok resepi.

~ Tomyam Putih Ayam ~

3 ulas bawang putih [dimayang]
2 ulas bawang merah [dimayang]
1/2 labu bawang besar [dibelah kasar]
10 biji cili padi
1 batang carrot 
1 batang celery
1 tangkai daun bawang
6 helai daun limau purut 
3 batang serai [dititik]
2 inci lengkuas (dimayang atau ditumbuk kasar]
1 biji tomato [dibelah 4]
1/2 ekor Ayam
1 biji limau nipis [ambil air perahan]
Garam secukup rasa.
Air [sukatan air terpulang kepada citarasa dan bersesuaian dengan bahan-2 yang digunakan]

Masukkan air kedalam pot kemudian masukkan bawang putih, bawang merah, lengkuas, serai, daun limau purut, ayam, carrot, cili padi.  Apabila masak, masukkan garam & perahan limau nipis sedikit demi sedikit supaya dapat rasa masam yang dikehendaki. Tambahkan batang celery dan daun bawang, belahan bawang besar serta tomato.

This is my version of Tomyam Putih Ayam :)

Lala Masak Cili


Salam untuk semua :) Amboi bulan posa nih i memang tak dan langsung nak update.  Resepi yang i masak dah bersusun dalam folder untuk i upload tapi alahai, macam-macam alasan lah...asyik procrastinate jer. Tapi tak apa, i cuba jugak ya. Hari ni i nak kongsi resepi yang My Other Half dan i suka.  Tak mau bebel panjang-panjang, jom kita jengok resepi.

~ Lala Masak Cili ~

Lala
4 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
2 batang serai [dititik]
2 senduk cili kisar [cili kering dikisar bersama bawang putih, bawang merah & halia]
Sedikit minyak untuk menumis
Garam

Tumiskan bawang putih dan bawang merah dan masukkan cili kisar, goreng sehingga cili masak. Tambahkan serai dan lala. Biarkan sehingga kepingan lala terbuka. Jika suka kuah, tambahkan sedikit air dan perisakan dengan garam.

Haha! Easy peasy rite?  Selamat mencuba.

Tuesday 25 June 2013

Daging Masak Kicap



Salam semua!  Kami sekeluarga bukanlah peminat daging tegar jadi jaranglah daging menjadi hidangan kat rumah.  Once in a while bila teringin, barulah i beli dan masak.  Hari tuh my girl mintak nak makan jadi i pun belilah daging n dok pikir nak masak apa, masa pun limited sbb i sampai rumah from work pun dah lambat.  Daging goreng kicap lah mudah! Tadaaaaa, kejap jer masaknya, campakkan apa yang patut dalam kuali, hasilnya mcm gambar di atas.

~Daging Goreng Kicap~

Daging
Kicap Manis
Garam
Bawang besar
Bawang Putih
Celery
Cili Padi
Carrot
Halia

Rebuskan daging sehingga lembut.  Tumiskan bawang putih bersama cili padi dan halia sehingga bertukar keemasan, kemudian masukkan daging yang telah direbus.  Goreng seketika, kemudian masukkan kicap manis dan sedikit garam.  Goreng sehingga mesra dan masukkan bawang besar & celery dan carrot yang dihiris kasar. 

:P easy peasy kan?

Friday 21 June 2013

Grilled Chicken with Spaghetti



Salam kawan-kawan semua.  Amboi lama sungguh i tinggalkan rumah i nih tau...bukan pi mana pun, cuma terlalu busy [alasan standard].  I started this blog during Ramadhan last year dan sekarang nih Ramadhan nak menjenguk kembali...tudia aih!  Kepada yang rajin bertandang dulu entah kemana menghilang kan sebab dah lama sangat rumah nih tak dikemaskini.  Tapi insyallah, i janji i cuba untuk jadik rajin hehe. My Other Half pun dah komplen cakap dah lama blog tak der gambar n resepi! Ok Ok i menurut perintah - love ya!

Eh! Jom tengok resepi i nih.  Simple jer, macam yang i selalu katakan, apa saja yang i masak mestilah simple tapi mesti nak sedap! I kan pompuan busy [alasan lagi] heheheh.


~Grilled Chicken ~

3 keping isi ayam (dada)
5 ulas bawang putih [dicincang halus]
1/2 sudu besar madu
1/4 lemon [diambil jus]
Sedikit lada hitam
Sedikit garam
Sedikit lada sulah
Sedikit Olive oil
1 tangkai rosemary [ditumbuk kasar] or boleh substitute dengan dried ones

Campurkan bawang putih yang telah dicincang bersama dengan lada hitam, lada sulah, madu, sedikit garam dan olive oil. Kacau mesra dan masukkan kepingan dada ayam, gaulkan mesra dan tambahkan jus lemon.


~Spaghetti Sauce~

1/2 packet spaghetti [direbus bersama garam dan dimasak sehingga al-dente]
1 botol pasta sauce [ikut sukalah jenis apa u all suka]
1 small canned tomatoes [i suka masam so tambah jer yang nih]
Sedikit mixed herbs
Sedikit lada hitam yang ditumbuk kasar


Ayam di atas tuh, grill kan di atas griddle jer.  Dah masak hidangkan bersama dengan spaghetti & sauce. I dah cakap kan memang senang! Kalau u all rajin, tak payahlah guna readymade pasta sauce, buat sendiri pun boleh.  Okay nanti kalau i rajin, i tunjuk resepi pasta sauce yang i buat sendiri ya. Kalau rajin ler :P

Selamat mencuba!